Tampilkan postingan dengan label polis. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label polis. Tampilkan semua postingan
Selasa, 25 Februari 2014
Polis Pantau Gengsterisme Di sekolah IPT

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu giat melakukan pemantauan di sekolah di seluruh negeri bagi membanteras kegiatan merekrut pelajar sebagai anggota kongsi gelap.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, pemantauan turut dilakukan di institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, walaupun tiada maklumat berkaitan kegiatan itu di kalangan pelajar namun senario tersebut perlu dipandang serius sebagai langkah pencegahan awal.
“Kita tetap optimis untuk membanteras kegiatan tersebut dari menular di negeri ini dan pemantauan secara berterusan dilakukan bagi membendung kegiatan negatif ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hamzah berkata, setiap sekolah mempunyai pegawai perhubungan sekolah yang terdiri dari pegawai polis yang akan memantau kegiatan jenayah di sekolah manakala di pusat pengajian tinggi terdapat Kor Sukarelawan Polis.
Beliau berkata, pihak sekolah juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan gengsterisme menerusi Kelab Pencegahan Jenayah di semua sekolah.
Mengenai Ops Cantas Khas, beliau berkata, pemeriksaan giat dilakukan di pusat hiburan, rumah dan di sekatan jalan raya.
“Walaupun Terengganu tiada kumpulan kongsi gelap mahupun kegiatan seperti itu namun kita tetap berwaspada agar elemen dari luar tidak menapak di negeri ini,” katanya. – BERNAMA
Selasa, 11 Februari 2014
Polis Tahan 18 Individu Dalam Ops Cantas Khas

GEORGETOWN – Polis Pulau Pinang menahan 18 individu termasuk tujuh wanita warga asing atas pelbagai kesalahan dalam Ops Cantas Khas yang dijalankan di lima pusat hiburan di seluruh negeri, awal hari ini.
Sebanyak 14 pasukan polis terdiri daripada pegawai dan anggota terbabit dalam operasi tujuh jam berakhir jam 3 pagi ini di Seberang Perai, Queensbay, Persiaran Gurney dan sekitar pusat bandar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, SAC Mazlan Kesah berkata, empat daripada suspek lelaki berusia antara 20-an dan 30-an disyaki anggota geng 04 berdasarkan lambang tatu pada badan mereka.
“Lapan lelaki ditahan untuk siasatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 manakala tujuh wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan ditahan atas kesalahan imigresen,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata beberapa paket dadah pelbagai jenis ditemui bertaburan di atas lantai dipercayai sengaja dicampak pengunjung pusat hiburan yang menyedari kehadiran polis.
Mazlan berkata, polis turut menjumpai tiga batang rotan sebesar pergelangan tangan dan tiga cota di dalam sebuah premis di Persiaran Gurney dipercayai digunakan sebagai senjata pergaduhan.
Sementara itu, Mazlan berkata, polis turut merampas 12 set komputer yang diubah suai menjadi mesin judi dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Seberang Perai Selatan serta menahan tiga lelaki atas kesalahan perjudian.
Katanya, seorang pemilik premis boleh didakwa mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain itu, dua pemain judi akan siasat mengikut Seksyen 7 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan dan denda tidak melebihi RM5,000. – BERNAMA
Langganan:
Postingan (Atom)